Sunday, February 8, 2009

REMPAH RATUS PENGGANTI PERISA...

BERMACAM jenis rempah yang dapat mengekal rasa dalam makanan tanpa perlu bergantung terlalu banyak kepada garam, gula dan perisa tiruan.

Kempen mengurangkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak telah berjalan sejak beberapa tahun lalu memandangkan peningkatan kes penyakit kronik dan masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia. Masalah berkenaan juga semakin teruk apabila semakin ramai kanak-kanak yang obes dan mula menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi dari usia muda lagi.
Remaja pula mula dikesan menghidap penyakit jantung, masalah paru-paru, artritis dan bermacam lagi. Bagi segelintir yang sudah terlambat untuk membuat perubahan, pilihan untuk mengurangkan bahan penyedap sudah tiada kerana ia kini menjadi satu kewajipan dalam kehidupan seharian mereka.
Tiga abdi
Seperti juga filem Tiga Abdul oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, terdapat tiga penyakit kronik utama yang menyelubungi hidup rakyat negara ini iaitu diabetes, penyakit kardiovaskular (tekanan darah tinggi, jantung, strok) dan kegagalan buah pinggang. Walaupun banyak lagi penyakit kronik lain yang mengancam kualiti hidup kita, tiga penyakit tersebut memaksa penghidapnya mengabdikan diri kepada kawalan diet pemakanan yang amat ketat.
Hilang sudah nikmat rasa bagi mereka ini apabila kebanyakan makanan kegemaran yang enak dan lazat tidak lagi menyentuh lidah, sebaliknya hanya menyeksa hidung dengan bau yang menggoda. Lebih teruk lagi, mereka kini beralih kepada hidangan bermacam jenis ubat-ubatan dalam usaha mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.
Bagi golongan yang sihat sejahtera, sukar digambarkan hidup seseorang itu terkongkong dengan pengambilan ubat sebagai makanan ruji sementara makanan biasa seperti nasi lemak, teh tarik mahupun susu perlu dielakkan. Hilangnya nikmat rasa ini memberi cabaran besar untuk doktor dan pakar pemakanan memastikan pesakit mengawal diet harian mereka.
Sesetengah pesakit yang tewas kepada godaan aroma makanan akhirnya terpaksa menghadapi natijahnya apabila keadaan kesihatan bertambah teruk. Nikmat seminit, derita bertahun.
Namun, adakah pesakit diabetes, penyakit kardiovaskular dan kegagalan buah pinggang selamanya tidak dapat menikmati sebarang rasa dan perisa?
Terlalu banyak gula membahayakan pesakit diabetes, lebih garam dan protein membahayakan pesakit buah pinggang, sementara limpahan lemak dan minyak membahayakan pesakit kardiovaskular. Maka, suramlah hidup penghidap tiga penyakit kronik tersebut tanpa nikmat rasa.
Rasa perisa
Dalam usaha berkongsi alternatif perisa makanan untuk pesakit, Pusat Perubatan Sunway (SMC) baru-baru ini menganjurkan Bengkel Nutrisi Renal Tahunan ketiganya untuk penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Melalui bengkel ini, Pakar Nefrologi dan Pakar Pemakanan SMC berkongsi bersama pesakit CKD cara mengawal diet tanpa perlu mengorbankan kesemua perisa makanan. Antara alternatif garam, gula dan bahan perasa tiruan yang diketengahkan adalah dengan menggunakan bahan semula jadi yang diamalkan masyarakat kampung sejak turun temurun.
Rempah ratus, antaranya mempunyai kesan sebagai herba, bukan sahaja menambah rasa malahan dapat membantu dalam menjaga tahap kesihatan dan keseimbangan fungsi badan.
Pakar Pemakanan Kanan SMC, Ho Wan Mi menyatakan kawalan pemakanan amat penting bagi pesakit CKD mahupun mereka yang menghidap CKD bersama penyakit lain.
"Kita banyak menggunakan bahan tambahan dalam masakan harian tetapi bahan tambahan ini hanya menambah sedikit sahaja rasa pada makanan.
"Mengurangkan bahan tambahan seperti garam tidak bermakna tiada rasa, sebaliknya ia boleh diganti dengan pelbagai perisa rempah ratus dari bahan semula jadi," katanya.
Jelasnya, bahan seperti kunyit, bawang merah, bawang putih, kayu manis, halia, serai, lada, kurma merah dan cili merupakan contoh rempah yang memberi rasa sebenar makanan.
Tambahnya, perbezaan menggunakan garam dan bahan tambahan lain dengan rempah asli dapat dilihat melalui rasa masakan tradisional, seperti tomyam, yang dimasak menggunakan rempah asli berbanding yang menggunakan bahan siap diproses.
Terdapat sebilangan rempah yang siap diproses juga ditambah bermacam bahan lain termasuk garam berlebihan, perasa, pengawet dan mungkin juga pewarna tiruan untuk meningkatkan rasa dan membolehkannya disimpan lama.
Makan di luar juga tidak digalakkan untuk pesakit CKD, mahupun mana-mana penghidap penyakit kronik. Ini kerana mereka tidak dapat mengawal jenis dan jumlah bahan tambahan yang digunakan dalam makanan dan minuman yang dibeli. Tiada gunanya jika makanan yang dihidang sedap tapi penuh dengan bermacam bahan tambahan. Ia seperti meletakkan kesihatan diri sendiri di tangan orang lain.
Bagi pesakit CKD, keutamaan diberikan kepada kawalan pengambilan garam dan protein. Garam boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah sementara protein menghasilkan bahan buangan yang perlu ditapis buah pinggang. Kedua-duanya memberi lebih tekanan dan mampu meningkatkan kerosakan buah pinggang.
Wan Mi menegaskan, kawalan diet dapat melengahkan keperluan menjalani rawatan dialisis di kalangan pesakit CKD.
"Pemantauan perkembangan CKD (atau penyakit kronik lain) perlu dijalankan secara berkala.
"Untuk pesakit CKD, kandungan kreatinin (bahan buangan metabolisma otot yang ditapis buah pinggang), di dalam darah perlu dikawal pada tahap serendah mungkin," jelasnya.
Menurutnya lagi, kawalan diet pesakit CKD sememangnya sukar tetapi bagi pesakit diabetes yang juga menghidap CKD, kawalannya lebih ketat.
Tambahnya, pesakit diabetes bukan sahaja perlu mengawal pengambilan gula, malahan garam dan juga protein. Bagaimanapun, pengurangan pengambilan gula dan kawalan pemakanan dapat menurunkan paras gula darah dan boleh dianggap satu bonus untuk pesakit.
Wan Mi turut menasihatkan pesakit CKD yang terpaksa memulakan rawatan dialisis supaya mengawal berat badan kerana mereka mungkin akan mula kehilangan banyak berat badan akibat kegagalan penuh fungsi buah pinggang.
Bagi mereka yang masih sihat dan tidak dibelenggu mana-mana penyakit kronik, dinasihatkan supaya mengambil makanan dalam jumlah yang berpada. Di dalam setiap hidangan, terdapat bermacam bahan yang ditambahkan dan mungkin boleh membawa kepada penyakit tertentu.
Dengan keengganan sesetengah peniaga menurunkan harga bahan masakan, dan juga khabar peningkatan harga gula, amat elok jika masa ini dijadikan titik permulaan kawalan diet yang lebih sihat. Walaupun sukar untuk mengelakkan penggunaan produk siap diproses atau amalan makan di luar, sekurang-kurangnya cuba bataskan jumlah garam, gula, lemak dan minyak dalam makanan dan minuman di rumah.
Satu pilihan kecil mengutamakan kesihatan diri dan keluarga memberi kesan besar dalam jangka panjang. Letakkan pilihan itu di tangan anda sendiri.

Oleh NURUL ANUAR KARIkesihatan@utusan.com.my

No comments: